KOTA KINABALU: Format pengadilan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Tanpa Sempadan Negeri 2021 telah dikembalikan kepada pemarkahan oleh sekumpulan juri, kata Pengerusinya Joanna Datuk Kitingan.
“Pengadilan 79 peserta Unduk Ngadau dalam talian oleh juri-juri profesional akan dilakukan hari ini (Isnin) untuk memilih 21 finalis dan keputusan akan diketahui petang ini,” katanya, menurut laporan Harian Ekspres_, dalam satu kenyataan pada Isnin, sambil mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas maklum balas mereka di dalam talian.
“Selepas mendengar semua pelbagai pendapat dan komen daripada orang ramai mengenai teknikal dalam sistem pengundian, undian tertinggi hanya akan dikira untuk undian paling popular.
“Berkenaan dengan dana yang dikutip daripada undian itu, apa pun wang yang telah dikutip akan didermakan kepada badan amal yang telah dipilih sebelum ini.
“Benefisiari yang kami pilih untuk derma tahun ini ialah Makatip Shelter Home untuk wanita yang memerlukan di Tambunan.”
Media sosial kecoh pada hujung minggu lalu dengan netizen mengkritik sistem undian berbayar yang baru diperkenalkan dalam pengadilan UNK tahun ini, susulan pengumuman yang dibuat oleh Joanna, Sabtu lepas, bahawa undian berbayar dalam talian akan bermula dari 21-25 Mei.
Semasa pengumuman itu, katanya kriteria kelayakan untuk 21 Terbaik akan terdiri daripada undian awam (60 peratus) dan pengadilan awal oleh juri profesional (40 peratus).
Di bawah sistem undian itu, pengundi perlu membeli tiket undian di laman web rasmi UNK 2021.
Susulan pengumuman itu, satu petisyen dalam talian telah dilancarkan lewat malam Sabtu lepas, untuk membantah sistem undian berbayar itu.
Dalam kenyataan misi pada laman petisyen itu, penciptanya, dikenali sebagai “Orang Kampung”, berkata pertandingan UNK harus menggambarkan semangat Kaamatan untuk memperingati legenda Hominodun yang mengorbankan diri untuk kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, pempetisyen itu berkata, penganjuran UNK pada 2021 tidak menunjukkan keadilan dalam sistem pengadilan untuk memilih pemenang Unduk Ngadau apabila sistem undian melibatkan wang digunakan.
Netizen juga berkata sistem itu telah mencemarkan standard pertandingan itu, dengan sebahagiannya mengatakan “Hominodun diperdagangkan untuk wang.”
Dalam kenyataan sama pada Isnin, Joanna meminta maaf “atas segala kesulitan yang disebabkan kepada netizen oleh sistem undian baharu itu, yang kami kini telah selesaikan berpandukan cadangan dan komen orang ramai dalam talian.”
“Bagaimanapun, kami mahu orang ramai tahu bahawa kos penganjuran Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Negeri setiap tahun tidak murah dan malah semakin meningkat setiap tahun.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas geran dan kepada semua penaja atas hadiah utama dan hadiah lain.
“Bagaimanapun, kami masih perlu mencari jalan untuk mengutip dana bagi membayar semua perbelanjaan lain seperti perbelanjaan penganjuran, penginapan peserta Unduk Ngadau, makanan dan minuman, pengangkutan dan hadiah lain.”
Beliau juga berkata, agak malang mereka tidak dapat mengadakan Sodop Unduk Ngadau seperti yang mereka adakan setiap tahun sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menggumpul dana mereka.
“Bersama anda semua, kami berdoa agar semangat Hominodun dalam semua peserta Unduk Ngadau kita akan terus wujud dan diberkati dan dibimbing untuk yang terbaik,” katanya.
Beliau menambah, ia sangat mencabar disebabkan pandemik.
“Kami menyangka ia akan lebih mudah untuk pertandingan Unduk Ngadau diadakan sebahagiannya dalam talian. Bagaimanapun, dari segi teknikal ia terbukti lebih mahal,” katanya.
Untuk perkembangan dan maklumat, layari laman Facebook rasmi pertandingan UNK Negeri.
DE