Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Noor
BEAUFORT: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, mengarahkan jabatan-jabatan berkaitan, khususnya Jabatan Parit dan Saliran (JPS), untuk melihat masalah banjir yang melanda daerah ini setiap tahun dan mencari penyelesaian untuk masalah itu.
Katanya, sekiranya tidak secara tuntas, sekurang-kurangnya mampu mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di daerah ini sejak sekian lama hingga menjejaskan kehidupan penduduk.
“Saya ingin minta jabatan berkenaan (JPS) supaya mencari satu cara untuk kita menyelesaikan masalah ini, sekurang-kurangnya mengurangkan masalah banjir di Beaufort ini,” katanya.
“Mungkin kalau terpaksa usaha meluruskan Sungai Padas ataupun lain-lain perkara kerana kita tahu setiap tahun begini sahaja keadaannya.Jadi ini (penyelesaian banjir) perlu rancangan teliti untuk jangka masa panjang yang perlu dibuat JPS atau jabatan berkaitan.
“Inilah yang kita akan lihat secara serius, secara keseluruhannya, tetapi dalam usaha kita membantu mangsa-mangsa banjir ini kita akan lakukan mana yang perlu untuk meringankan bebanan mereka yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan untuk pembinaan dua pusat penempatan sementara (PPS) baharu untuk penduduk di Kampung Batu 60 dan Kampung Batu 65 memandangkan kawasan itu sering terputus jalan perhubungan setiap kali banjir berlaku.
Katanya situasi itu menyebabkan mangsa banjir sukar menerima sebarang bantuan daripada pihak Kerajaan sama ada melibatkan pengagihan barangan dapur atau pun usaha pemindahan ke PPS sedia ada.
Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan segera berjumlah RM100,000 bagi pembinaan paip air graviti di Kampung Jempangah bagi kemudahan penduduk di kawasan itu, katanya selepas tinjauan ke PPS Dewan Dun Banir, di sini, pada Isnin.
Turut hadir ADUN Klias dan Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Majlis Tertinggi AMT Bersatu, Datuk Seri Lajim Ukin; Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, dan barisan kepimpinan Kabinet Sabah.
Semasa tinjauan tersebut, Hajiji memaklumkan Kerajaan Negeri mengagihkan bantuan RM500 kepada setiap ketua keluarga mangsa banjir yang terjejas serta mengagihkan bantuan bakul makanan.
“Kita membantu mangsa-mangsa (banjir) yang terlibat sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah dan akan memberi bekalan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir ini.. kita akan melihat keseluruhan mereka yang terkesan di Beaufort ini.
“Kita juga akan menambah lagi bantuan bakul makanan. Banyak perkara-perkata yang perlu kita utamakan dalam usaha untuk membantu penduduk-penduduk (terjejas) di kampung di kawasan sini,” katanya.
Tentang masalah air di daerah ini, Hajiji menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk melihat masalah itu dengan lebih serius.
Katanya, loji air berkapasiti besar sudah dibina (Loji Air Jempangah) namun masalah sama tetap berlaku sama ada ketika banjir atau pun tidak.
“Ini juga perkara perlu kita lihat, loji ada..air banjir..tapi air masuk ke rumah tidak ada. Jadi ini kita minta Jabatan Air untuk melihat perkara ini secara serius kerana putus bekalan bukan sahaja masa banjir ini tetapi semasa keadaan biasa.
“Jadi saya harap mana-mana jabatan yang memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan ini mesti melihat perkara-perkara di bawah jagaan mereka untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat,” katanya.