Rafie dan rombongan memunggah barang-barang dari lori ke kenderaan pacuan empat roda untuk dihantar ke lokasi.
TENOM: Armada Bersatu Sabah menyampaikan pelbagai jenis barangan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mereka.
Naib Ketua Armada Bersatu Negeri yang juga Ketua Armada Keningau Rafie Robert berkata, antara barangan yang disalurkan ialah 500 kotak air mineral, 500 pampers untuk bayi dan orang tua dan 500 pek susu pelbagai jenis.
Selain itu katanya Armada Bersatu Keningau telah menyumbangkan air mineral, bahan makanan berupa biskut, penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan pakaian terpakai.
Sementara itu katanya, Exco Armada Bersatu Pusat, Johainizamshah Johari dan Ketua Biro Ekonomi Armada Negeri, Muhammad Affan Jumahat telah menyumbangkan sebanyak tujuh bundle pakaian terpakai dan air mineral kepada mangsa banjir.
Rombongan Armada Bersatu itu diketuai oleh Rafie dan turut disertai oleh Johainizamshah serta Affan (Naib Ketua Armada Kudat) yang mewakili Ketua Armada Bersatu Negeri iaitu Fairuz Renddan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.36 Kemabong, Datuk Rubin Balang dan Ketua Armada Bersatu Bahagian Tenom Riduan Rubin.
Rafie ketika ditemui media berharap dengan bantuan yang disampaikan itu dapat meringankan beban mangsa bencana banjir di daerah berkenaan.
Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir ke Pusat Urus Setia Pejabat Daerah Tenom untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Katanya, antara barang yang diperlukan oleh mangsa banjir ketika ini ialah air mineral, beras, barangan makanan, pampers, tuala peribadi wanita dan keperluan harian yang lain.
Ini katanya, kerana rata-rata masyarakat di daerah itu telah terjejas banjir dan bantuan barangan yang mencukupi untuk keperluan mereka adalah sangat diperlukan.

Rafie (tiga dari kanan)dan Rubin (kiri)