Clive Adnor Jaspor
SANDAKAN: Walaupun berasa sedih dan susah hati dengan keadaan anaknya, yang disahkan mengidap kanser tulang lutut kanan (Osteosarcoma right knee joint) pada akhir tahun lalu, si ibu yang berusia 42 tahun ini pasrah menerima suratan takdir.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di sebalik kesedihan tersebut, Flora Mail yang bertugas sebagai juru X-ray di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan, terus berusaha sambil berdoa agar anaknya Clive Adnor Jaspor, 8, dapat sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain sebayanya.

Ceria. Clive (tiga, kiri), anak kelima dari antara 5 adik beradik (sebelum menghidap Osteosarcoma right knee joint)
Clive, yang merupakan anak kelima daripada lima beradik, disahkan mengidap kanser tersebut pada bulan November lalu, setelah menjalani pemeriksaan X-ray and ultrasound pada lutut kanannya di HDOK, serta CT scan di HDOK dan Hospital Ibu dan Anak Likas, Kota Kinabalu, di mana dia juga melalui pemeriksaan MRI dan ujian Biopsy FINAC.
Sejak daripada itu, Clive mula menjalani rawatan kemoterapi di wad Onkologi Kanak-Kanak di hospital yang sama di Likas bermula 1 Disember tahun lalu.

Pada hari pembedahan 12 Mac 2021
Pada 12 Mac tahun ini, dia menjalani pembedahan pada lutut kanannay (Right Knee Rotationplasty) namun gagal, menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong daripada lutut ke bawah.
Menurut doktor pakar yang merawatnya, Clive yang minat bermain bola sepak and permainan Minecraft perlu terus menjalani rawatan kemoterapi sehingga bulan Ogos tahun ini.
“Semoga Clive diberikan kesembuhan. Semoga dia sukses dalam apa juga bidang diceburinya nanti,” kata Flora.
Clive, yang bercita-cita untuk menjadi doktor, berniat untuk menawan Gunung Kinabalu bila dia mendapat kaki palsu dan sembuh sepenuhnya, tambahnya.

Ditanya bagaimana dia mengatur masa kerjanya di Sandakan dan masa menjaga Clive yang dirawat di hospital di Likas, Flora berkata dia ambil keputusan untuk bercuti separuh gaji selama enam bulan bermula November 2020 sehingga Ogos tahun ini.
“Sekiranya rawatan masih berterusan maka saya akan ambil cuti tanpa gaji,” katanya.
Tentang anak-anaknya yang lain, Flora berkata mereka tinggal di rumah di Sandakan dan suaminya, Jaspor Alip yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Kompleks Sukan Sandakan menjaga mereka sepanjang dia menjaga Clive di hospital di Likas.
“Suami saya banyak memberikan sokongan moral kepada anak-anak dan saya juga,” kata Flora, sambil menambah dia juga sentiasa mempastikan dia menerima secara positif apa jua dugaan yang mendatang.
Flora berkata dia dan suaminya juga telah merancang agar Clive dapat diberikan tuisyen khas dirumah memandangkan dia belum boleh bersekolah.
Katanya selain sokongan keluarganya, dia juga selalu diberikan kata-kata semangat daripada seorang wanita yang dikenalinya sebagai Pn Leyla daripada Kuala Penyu yang juga mempunyai anak, Lyksther, yang mengalami masalah yang sama.
“Dia (Leyla) selalu beri kata-kata semangat kepada saya. Dia seorang ibu yang kuat,” katanya. – tamat