Hj. Ruslan (kanan) bersama Yamani Hafez meninjau kawasan banjir.
BEAUFORT:Rakyat di sini khususnya kawasan Lumadan perlu sentiasa bersiap-siaga berhadapan dengan risiko kejadian banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Hj. Ruslan Muharam berkata, masyarakat juga diingatkan sentiasa berwaspada dnegan keadaan cuaca yang tidak menentu dan paling penting sentiasa memantau anak masing-masing daripada bermain air banjir.
“Pada petang ini (semalam) saya bersama Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun, Pengarah UPPM Negeri Sabah Datuk Matbali Musah, DCO DUN Lumadan Sobri Abdul Adis CDO serta pemaju mukim DUN Lumadan, PDRM meninjau keadaan banjir di beberapa buah kampung seperti di Kampung Lingkungan Laut, Kg Inuman, Kg Lumadan, Kg Batu 6 dan Kg Lumatai.
“Di Kg Inuman kami melawat sebuah keluarga yang dipindahkan di surau di mana anak daripada keluarga keadaan kurang sihat dan saya menghulurkan sedikit sumbangan peribadi kepada adik Mohd Ezwen Malik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd ini memberitahu bahawa, mereka membuat tinjauan ke Kg Lumadan untuk menziarahi dua buah rumah yang telah dimasuki air banjir semalam yang mengakibatkan mereka mengalami kerosakan harta benda seperti peti sejuk, almari dan lain lain.
Katanya, menurut mereka ia adalah kali pertama mengalami banjir yang teruk akibat hujan yang turun seharian semalam dan air banjir hampir sampai paras .
Beliau juga menasihatkan agar penduduk segera menghubungi pihak keselamatan bagi membantu dan sekiranya diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.
“Saya merayu agar mematuhi arahan pihak keselamatan dan membawa dokumen yang penting sahaja.
“Marilah sama-sama kita berdoa agar keadaan cuaca kembali baik serta air banjir surut dengan segera,” kata Hj. Ruslan.
Sementara itu, Hj. Ruslan serta rombongan turut melawat kampung-kampung yang terjejas akibat banjir di zon Weston.
Beliau memberikan nasihat kepada penduduk kampung agar rumah yang rendah dan mudah ditenggelami air perlu berpindah untuk menjamin keselamatan masing-masing.
“Kita memberikan jaminan bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan keperluan seperti makanan dan berkaitan kepada rakyat yang benar-benar terjejas akibat banjir dan terputus jalan perhubungan sejak 16 Mei.
“Sudah lima hari mereka tidak dapat keluar ke pekan untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya.