Ketua Pemuda STAR Sabah, Rizal J. Utto
KOTA KINABALU: Masyarakat Sabah tidak kira pemahaman atau latar belakang politik seharusnya berhenti pertikaman lidah dan fokus kepada gambar yang lebih besar iaitu penuntutan semula hak-hak negeri tercinta.
Ketua Pemuda STAR Sabah, Rizal J Utto, berkata pertelingkahan tanpa kesudahan bukan sahaja memecah belahkan rakyat tapi juga berpotensi meruntuhkan kerajaan yang sedang stabil.
“Jangan mempersiakan usaha nenek moyang kita yang telah bertungkus-lumus membina negari ini dengan harapan sebuah kehidupan harmonis.
“Sabah sebuah negeri yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, dari tanah yang subur ke lokasi strategik di Asia-Pasifik.
“Demi kesejahteraan berterusan dan keselesaan generasi depan kita harus berganding bahu untuk mengecapi perjuangan asal, pengembalian hak Sabah untuk orang Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sebagai anak Sabah yang terhasil dari pengorbanan bermotifkan penyatuan ia adalah tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah secara aman damai untuk mengekalkannya.
“Mari kita bersatu sepertimana nenek moyang kita dan terus memperjuangkan impian mereka untuk Sabah Maju Jaya,” tambah beliau.