RAKYAT negeri ini disaran agar tidak terpengaruh dengan sebarang propaganda oleh pihak-pihak tertentu yang mengkhabarkan bahawa kerajaan negeri sekarang ini akan beralih tidak lama lagi.
Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) Hj Yahya Hj Ahmad mengingatkan rakyat agar menumpukan semua usaha dalam membangun serta memulihkan asas kesejahteraan rakyat jelata.
“Jangan percaya propaganda kerajaan akan berubah, ini budaya permainan nafsu politik. Ada pihak yang bermain agenda dan mencari kesempatan saat kerajaan sudah stabil dan sepakat,” katanya.
Kepada para pemimpin kerajaan GRS, Hj Yahya turut mengingatkan agar mereka permutukan cara berpolitik, tumpukan agenda pembangunan dan berusaha memulihkan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Jangan pentingkan jawatan semata-mata dan jangan kerana agenda peribadi hingga menjadikan rakyat mangsa propaganda politik.
“Kepada pemimpin Sabah apa parti pun termasuk pembangkang, utamakan kestabilan negeri.
Janganlah ulangi budaya politik yang kurang matang, kerana bila sampai masanya, politik itu akan terbuka luas dan masa itu, bersainglah dengan sihat,” katanya.
Mengulas persepsi yang dimainkan pihak tertentu yang mengatakan YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor agak lemah untuk memimpin Sabah dan kurang menonjol di media, Hj Yahya mengingatkan mereka agar tidak melayan sentimen nakal seperti itu.
“Saya mengikuti perkembangan pencapaian kerajaan dari beberapa sudut dan pendekatan, ianya jelas bergerak mengerbang perubahan yang sudah nampak berjaya.
“Sebenarnya YAB Datuk Hj Hajiji Noor lebih selesa kepada penumpuan kerja dan fokus bekerja keras membawa agenda perubahan dan fasa-fasa pemulihan yang kini berjalan lancar selaras dengan hala tuju kerajaan membawa Sabah maju jaya untuk tempo yang disasarkan,” jelas Hj Yahya.