Shahelmey (kanan) bersama Ariffin membuat tinjauan di lokasi kebakaran, kampung Meruntum pagi tadi.
Putatan: Isu pembinaan semula rumah di kawasan penempatan atas air Kampung Meruntum yang terbakar semalam akan dibincangkan bagi tindakan susulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya berkata, setakat ini, pihaknya memberi fokus terhadap urusan pendaftaran mangsa kebakaran terlibat termasuklah agihan bantuan yang bakal diagihkan.
“Kita akan berbincang dengan Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah bagi tindakan susulan yang sewajarnya”.
“Kita fokus kepada urusan pendaftaran, kemaskini data supaya apa juga bantuan-bantuan yang akan diberikan, dapat disalurkan kepada mereka yang terlibat”.
“Kalau mengikut standart operasi, mereka boleh ditempatkan di PPS selama tiga hari tetapi kita bersedia untuk lanjutkan sehingga tujuh hari” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan rapat di lokasi kebakaran di Kampung Meruntum, pagi tadi.
Hadir sama adalah Menteri Tugas-Tugas Khas; Datuk Arifin Arif.
Mengulas lanjut tentang laporan kejadian kebakaran tersebut, Shahelmey berkata ianya melibatkan 45 keluarga dan menasihatkan mangsa untuk mendaftar dan mengemas kini data.
“Laporan pendaftaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Semalam, sebanyak 35 buah rumah terlibat dalam kebakaran petang semalam yang melibatkan 45 buah keluarga”.
“Pendaftaran masih dijalankan di PPS Dewan Serbaguna PPR Sri Serigai untuk proses pengemaskinian data mangsa yang terlibat.” katanya.
