Shahelmey (tiga, kanan) ketika berada di PPS di Dewan Serbaguna PPR Serigai Ketiau, Putatan.
Putatan: Sebuah Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka malam ini bagi menempatkan mangsa kebakaran di perkampungan atas air Kampung Meruntum, Putatan, petang tadi.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, PPS tersebut ditempatkan di PPR (Program Perumahan Rakyat) Serigai dengan proses pemindahan mangsa kini dipergiatkan.
“Kita mengaktifkan pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna PPR Serigai Ketiau yang berdekatan dengan Kampung Meruntum ini, lebih kurang setengah kilometer saja.
“Jadi kita berharap tidak ada kemalangan jiwa yang terlibat, walaupun kalau dilihat buat masa ini jumlah rumah yang terlibat ini begitu banyak sekali dan merupakan satu ujian kita semasa kita meraikan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Meruntum, malam tadi.
Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, pihaknya merakamkan penghargaan semua yang terlibat dalam membantu mangsa kebakaran berkenaan.
“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Putatan, Polis, Bomba dan Rela serta lain-lain agensi terlibat dalam operasi petang ini,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, anggaran awal kediaman yang terlibat kebakaran tersebut adalah mencecah kira-kira 30 buah rumah.
“Operasi memadam daripada pihak bomba masih giat dijalankan dan polis turut membuat kawalan keselamatan untuk mengelak kejadian tidak diingini.
” Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku setakat ini,”katanya.
