Tracie, Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Tambunan, 2021
KOTA KINABALU: Menyertai dan memenangi pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan setiap tahun sempena Perayaan Kaamatan merupakan impian kebanyakkan gadis-gadis Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR), namun bagi gadis Peranakan Murut dan Dusun ini dia sebenarnya tidak pernah terfikir langsung untuk menyertainya.
Ini walaupun kakaknya pernah menyertai dan memenangi tempat di pertandingan ratu cantik perayaan Kalimaran Murut dan Unduk Ngadau Kaamatan sebelum ini.
Namun tuah menyebelahi Tracie Sinidol apabila dia dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Tambunan semasa pertandingan yang diadakan bersempena dengan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah tersebut baru-baru ini.
Dia menyertai pertandingan tersebut pada hari-hari terakhir pendaftaran, atas dorongan ramai sehingga ada yang menawarkan untuk membantu mengurus keperluannya untuk acara tersebut.

“Memang tidak terfikir langsung untuk menyertai pertandingan tersebut. Semuanya bermula bila ramai yang menghantar pesanan bertanya samaada saya mahu sertai atau tidak, dan ramai yang menawarkan untuk mengurus keperluan saya.
“Kami sendiri pun tidak tahu ada pendaftaran untuk pertandingan Unduk Ngadau tersebut. Waktu tu tinggal tiga hari sebelum tarikh tutup bagi pendaftaran. Saya memikirkannya sehari suntuk dan akhirnya saya ambil keputusan untuk sertai pertandingan tersebut, dengan sokongan ibu dan keluarga,” kata Tracie yang mempunyai ketinggian 158cm ini.
Ibunya, Veronica Tajin, dan kakaknya, Grace Sinidol, yang merupakan Unduk Ngadau Tenom 2018, membantunya dalam membuat persiapan untuk pertandingan tersebut.
“Untuk pertandingan Unduk Ngadau tersebut, saya minta bantuan kakaknya Grace untuk latihan catwalk dan menjawab soalan-soalan Q&A.
“Saya bantu Tracie untuk belajar bahasa Ibunda setiap malam.
“Cabaran di sini adalah masa. Oleh kerana saya pun bekerja, pengurusan masa itu sangat penting supaya tidak mengganggu urusan kerja,” kata ibunya.
Tracie, yang baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), berkata dia terkejut bila namanya disebut sebagai Unduk Ngadau Tambunan dalam pertandingan tersebut.
“Terkejut, sebab saya tidak sangka akan menang sebab tiada perancangan untuk sertai pertandingan ini. Pada waktu yang sama, saya juga gembira sebab tidak sia-sia saya sertai pertandingan ini,” katanya.
Sehari selepas dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Tambunan, Tracie telah menandatangani kontrak sebagai Duta SOJ Beaute, sebuah syarikat produk penjagaan kulit dari Qatar yang diasaskan oleh anak jati Tambunan.
Selepas pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan di KDCA nanti, Tracie akan memulakan tugasnya sebagai Duta SOJ Beaute.
Ditanya tentang impiannya, Tracie berkata dia sebenarnya bercita-cita untuk menjadi guru.
“Oleh itu, sebagai Unduk Ngadau, saya Ingin menjadi role model yang baik kepada generasi muda dan ingin memperkenalkan budaya dan tradisi Sabah kepada masyarakat luar.
“Saya juga ingin membantu orang-orang yang memerlukan dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang mampu membantu masyarakat yg memerlukan,” kata Tracie, yang suka makanan tradisi tuhau dan lada putih.
Tracie, anak kelima daripada Sembilan beradik dan minat menyanyi dan menari, sebenarnya mempunyai bakat dalam lakonan, pernah berlakon dalam telemovie “Malaysiaku 16 September” dan “Budak Pasar” arahan pengarah Dato Jurey Rosli.
Menurut ibunya, yang juga merupakan pengurusnya, Tracie banyak terima tawaran-tawaran sejak dia viral empat tahun lalu, tetapi banyak yang terpaksa ditolak kerana dia masih bersekolah.
“Tracie juga pernah ditawarkan oleh TV3 untuk berlakon bersama pelakon Mira Filza, ditawarkan untuk menjadi peragawati di agensi modelling di Taiwan, dan banyak tawaran untuk photoshoots.
“Sebagai pengurusnya, saya temankan dia di setiap sesi photoshoots dan ujibakat. Saya juga membantu dia memahami dan menghayati skrip, serta melatih dia berlakon,” katanya.

Penyokong kuat: Tracie, bersama ibu tersayang, Veronica Tajin, yang menjadi tulang belakang dirinya sehingga ke hari ini.