Hendrus (dua, kiri) dalam Jelajah Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Kerajaan sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan lagi sosio-ekonomi pihak berkepentingan and penduduk tempatan di sekitar kawasan Taman Kinabalu, yang merupakan Tapak Warisan Dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Hendrus Anding, berkata usaha Kerajaan ini tidak berhenti dengan mendapat pengiktirafan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia.
Katanya keperluan untuk memberi peluang peningkatan sosio-ekonomi kepada semua penduduk yang berada di sekitar Taman Kinabalu menjadi satu keutamaan Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar and Taman-Taman Sabah.
Ini dilaksanakan dengan kerjasama erat dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan supaya impak sektor pelancongan menjangkau keseluruh pelusuk kawasan, terutamanya di sekitar Taman Kinabalu.
Usaha ini diterjemahkan sebagai Inisiatif “Kinabalu Geopark”, katanya semasa berucap merasmikan Program Jelajah Bersama Pihak Berkepentingan Daerah Kota Marudu yang diadakan di Dewan Komuniti Daerah di sini.
Hendrus berkata Inisiatif Kinabalu Geopark adalah satu usaha pembangunan lestari yang menterjemahkan aspek dan fenomena geologi menjadi produk geo-pelancongan yang akan menambah nilai dan kualiti aktiviti-aktiviti eko-pelancongan sedia ada.
Katanya Geopark ialah satu konsep pembangunan yang memberikan perhatian kepada tiga perkara, iaitu kepentingan pemuliharaan sumber geologi, pembangunan infrastruktur untuk pelancongan dan aktiviti sosio-ekonomi yang berteraskan hubung kait geologi dan masyarakat setempat bagi daerah Kota Marudu.
Pengwujudan Substesen Serinsim telah menampakkan peningkatan pelancong, katanya, sambil menambah aliran air Sungai Kinoron yang bersih dan batuan yang unik dijangka akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong di bawah Program Global Geo-Tourism.
“Limpahan ekonomi ini akan turut dirasai oleh komuniti tempatan. Bagi tujuan ini, Taman-Taman Sabah bersama dengan Jabatan Mineral dan Geosains kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Kinabalu Geopark yang pada masa ini telah diisytiharkan sebagai Tapak Kinabalu UNESCO Global Geopark,” katanya.
Kinabalu Geopark, seluas 4,750 kilometer persegi, adalah meliputi kawasan-kawasan Taman Kinabalu dan tiga daerah iaitu Kota Belud, Ranau dan Kota Marudu. Sebanyak 46 tapak Geo-Warisan telah dikenalpasti berpotensi untuk dimajukan sebagai Tapak Geo-Pelancongan yang dapat dimanfaatkan oleh penduduk tempatan sebagai nilai tambah tarikan pelancong.
Dalam masa yang sama, nilai budaya setempat seperti tarian, makanan dan kraftangan yang berasimilasi atau berkait rapat dengan penduduk kawasan Kinabalu Geopark dapat diangkat sebagai nilai tambah kepada produk Eko- dan Geo-Pelancongan.
Hendrus, yang juga merupakan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, juga kagum dan berterima kasih di atas sambutan dan kerjasama pihak berkepentingan dan komuniti daerah Kota Marudu ke atas Inisiatif Kinabalu Geopark.
“Semoga dengan perolehan taraf sebagai Unesco Global Geopark, daerah Kota Marudu dapat meningkatkan peluang peningkatan sosio-ekonomi dan peluang pekerjaan berasaskan Geo-Pelancongan dan seterusnya memastikan penduduk Kota Marudu hidup harmoni dengan alam sekitar.