Dr Joachim (tiga, kanan) menunjukkan isyarat tanda bagus sambil memegang Silinder Komposit AC GAS, yang disaksikan oleh Pengarah Urusan Syarikat Borneo Petroleum Alliance Sdn Bhd dan AC Gas.
KOTA KINABALU: Pelantikan Borneo Petrolium Alliance sebagai pembekal utama silinder komposit AC Gas negeri Sabah mampu melonjak ekonomi dengan penyediaan peluang pekerjaan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara Syarikat AC Gas hari ini berkata syarikat terdahulu juga akan membuka tiga kilang pembotolan AC Gas di Negeri Sabah.
“Kedua-dua syarikat akan saling melengkapi dan menjalinkan kerjasama strategik di dalam pembangunan industri bagi memastikan tercapainya objektif.
Di kala pandemik COVID-19, ahli peniaga, pengusaha serta pekerja dalam sektor perindustrian negara ini terpaksa mengharungi kehidupan selepas kehilangan punca pendapatan.
“Menerusi perjanjian persefahaman AC Gas dan Borneo Petroleum Alliance Sdn Bhd, peluang tersedia kepada pelabur industri selain daripada pembukaan pekerjaan melalui pembukaan kilang-kilang berkenaan,” Dr. Joachim berkata.
Tambahnya lagi Kementerian beliau komited meningkatkan pelaburan dan membangunkan masyarakat keusahawanan perdagangan dan perindustrian bumiputra (MPPB) selaras pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah.
Beliau terus menggalak penglibatan kaum bumiputera dalam aktiviti perdagangan dan perindustrian pada masa yang sama memanggil institusi kewangan menghulur bantuan yang diperlukan bagi melicinkan proses.
“Saya berharap agar (institusi kewangan) dapat mempertimbangkan syarat dan permohonan pelabur-pelabur yang ingin membuat pinjaman dalam usaha memulakan perniagaan khususnya dalam bidang Ac Gas ini.
Saranan Dr. Joachim kepada mereka yang sedang mencari apa pun pekerjaan adalah untuk mengambil apa sahaja peluang yang ada agar dapat meningkatkan pengetahuan tentang perniagaan lantas menjana pendapatan untuk menyara keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Borneo Petroleum Alliance Sdn Bhd. akan melahirkan 73 pelabur di 73 ADUN di Negeri Sabah dan perkara ini sudah pasti akan memberikan kesan positif dalam membangunkan ekonomi kaum bumiputra di Negeri Sabah,” tambahnya lagi.